Wednesday 9 January 2013

Agen Kecantikkan Asli



DENGAN kewujudan banyak produk kecantikan di pasaran, adakala kita terlupa pada amalan dulu kala menggunakan bahan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai agen kecantikan.
Selain boleh dimakan, kandungan nutrisi serta vitamin pada buah-buahan segar ini membantu menjadikan kulit lebih sihat, cantik dan berseri. Lebih penting sama ada dijadikan pembersih, penyental atau masker, kandungannya benar-benar bersih tanpa campuran bahan kimia. 
Menggunakan cara yang mudah, tanpa mengeluarkan belanja yang banyak sesiapa juga boleh melakukannya. Sama ada buah-buahan ini diletakkan pada wajah begitu saja atau dilenyek dijadikan masker, jika dilakukan secara berkala akan memberikan kesan menakjubkan pada kulit.

Wanita di negara maju pada zaman dulu juga percaya pada penggunaan bahan semula jadi yang boleh mencantikkan kulit. Wanita di Jepun misalnya menggunakan bulu daripada burung bulbul untuk membersih kulit. Mereka juga menjadikan bulu burung ini sebagai masker yang dicampur bersama air.



Kepercayaan ini masih digunakan sehingga sekarang. Mereka mempercayai khasiat daripada bulu burung bulbul ini namun menjadikan lebih moden dengan mencampurkan bersama pembersih wajah lalu disapu pada kulit.


Wanita di Barat pula percaya hampas teh dapat menghilangkan lingkaran hitam di bawah mata. Bahkan dengan menyimpannya di dalam peti sejuk semalaman boleh memberikan kesan lebih menyerlah.

Kebanyakan wanita Russia memiliki kulit yang halus dan cantik disebabkan kepercayaan mereka menggunakan serbuk kopi yang digosok pada kulit. Selain dapat menghilangkan bau badan, serbuk kopi boleh menjadikan rona kulit lebih cerah. Boleh dilakukan ketika bersauna supaya sel kulit mati dapat ditanggalkan secara optimum. Penggunaan kopi sebagai bahan penyental turut digunakan di kebanyakan negara maju kerana diakui keberkesanannya.

Wanita di Mesir percaya penggunaan susu dan madu mampu mencerah dan menjadikan kulit lebih halus. Buktinya, Ratu Cleopatra turut berkongsi rahsia yang sama apabila gemar menggunakan bahan serupa untuk mencantikkan wajah. Dia juga sering mandi dengan garam laut dan rumpai laut bagi mendapatkan kulit lebih mulus serta wajah bersinar.

Di negara kita misalnya, banyak amalan serta petua kecantikan semula jadi daripada nenek moyang yang masih menjadi amalan sehingga kini. Antaranya penggunaan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai masker atau penyental wajah.

Namun sebelum memakainya pada wajah, jangan lupa cuci atau bersihkan wajah terlebih dulu. Ada baiknya sekiranya menggunakan air suam supaya liang roma lebih terbuka dan mampu meresap nutrisi daripada bahan semula jadi ini. 


No comments: