Wednesday 9 January 2013

Kejayaan Dan Usaha CEO Taharah Global (m) Sdn Bhd



ARKIB : 18/08/2006

Zakiah pelopor sabun rumpai laut dan tanah liat

Kepakaran Zakiah berjaya menghasilkan Produk Sabun Taharah dan produk-produk spa yang berasaskan kelebihan yang terkandung pada rumpai laut dan tanah liat.


KHAZANAH ALAM sama ada dari laut mahupun daratan menyingkap 1,001 rahsia keagungan Allah s.w.t. Inilah yang diterokai oleh Syarikat Tazqiah Global Sdn. Bhd. yang memanfaatkan hidupan laut melalui rumpai laut, atau nama saintifiknya, sarjjasum atau Eucheuma Cottonii.
Ia kemudiannya diintegrasikan dengan tanah liat untuk menghasilkan produk yang mendapat tempat di hati pelanggan yang mementingkan kesucian dan kesihatan, iaitu sabun Taharah.
Wartawan, SITI AINIZA KAMSARI dan jurufoto, IDZHAM JAAFAR menemubual Pengarah Eksekutif Tazqiah Global, Zakiah Abu Kasim, 45 yang mengasaskan syarikat ini. Beliau berkelulusan sarjana muda ekonomi (perangkaan) dari Universiti Sains Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA: Boleh ceritakan bagaimana bermulanya penglibatan anda dalam keusahawanan atau dalam bahasa Arabnya, al aamilah fi al tijaarah?
ZAKIAH: Selain latar pendidikan yang tiada kaitan, saya mempunyai pelbagai pengalaman kerjaya yang berbeza sebelum terlibat secara serius dalam pengeluaran sabun Taharah pada 2004. Ini termasuklah pengurus sumber manusia di sebuah kilang dan jururunding sebuah syarikat. Tetapi kemuncaknya apabila saya mempraktikkan ilmu daripada pembacaan. Semua ini tidak disengajakan apabila saya amat tertarik kepada anugerah alam, rumpai laut.
Semakin saya membaca mengenai hidupan ini, ia seolah-olah ‘menarik’ saya menerokai sendiri rahsia yang selama ini tersimpan kemas tanpa ada sesiapa yang mengetahui akan kandungan dan ketinggian khasiatnya yang begitu alamiah atau alam semula jadi itu.

Hanya berdasarkan pembacaan, mampu meyakinkan anda memanfaatkan sumber semula jadi ini bagi menjana pendapatan?
Jangan sifatkan ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Malah mungkin sebenarnya saya bermula agak lewat. Jika dari dahulu saya mengetahui mengenai rahsia khazanah laut ini, mungkin perniagaan ini sudah lama bermula.
Tetapi apa yang dibaca itu tentunya tidak boleh tinggal sebagai pengetahuan sahaja atau berazam tanpa melakukan sesuatu. Kaki perlu digerakkan bagi menggapai impian tersebut.

Menghasilkan produk kesihatan seperti Taharah tentunya sukar kerana memerlukan kepakaran yang melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D)?
Memang benar, kerana saya terlibat secara langsung dalam menghasil atau menciptakan formula-formula pembuatan melalui teknik bio teknologi, mendapatkan bahan-bahan mentah, mengadun, memproses sendiri sehinggalah menjadi bahan eksperimen bagi melihat dan merasakan sendiri hasil dan kesannya.
Oleh kerana saya tidak mempunyai latar belakang berkaitan, saya perlu belajar semuanya dari bawah walaupun terpaksa merangkak-rangkak.
Kerana itu saya menyambung pengajian sehingga memperoleh Diploma Sains Kosmetik dari sebuah universiti di United Kingdom. Kini saya sedang membuat tesis doktor falsafah (PhD) dalam bidang bio marin dengan pakar sains marin iaitu Profesor Dr. Phang Siew Moi dari Universiti Malaya.
Tidak cukup rumpai laut, anda juga meneroka rahsia di sebalik tanah liat bagi tujuan kesihatan dan kecantikan?
Saya memilih tanah liat kerana mahu cuba mengungkap rahsia mengapa Islam memerintahkan kita menggunakan tanah liat untuk menyamak. Jadi saya melakukan kajian dan penyelidikan secara saintifik dan mendapati tanah liat mempunyai gabungan zarah-zarah yang sangat halus. Ia juga mempunyai kelembapan semula jadi yang tinggi dan dapat membekalkan kelembapan secara semula jadi kepada kulit.
Namun fungsi utamanya ialah membersihkan kulit dengan sempurna kerana tanah liat adalah pembasmi kuman (antiseptik) yang terbaik.
Apabila tanah liat ini diadun bersama rumpai laut dan melalui proses pembuatan sabun, maka ia menjadi satu produk yang mempunyai nilai tambah.
Benarkah anda tidak mendapat bantuan modal dari mana-mana pihak semasa memulakan perniagaan?
Saya tidaklah menjadi mangsa penipuan tetapi pelbagai kerenah birokrasi dan diskriminasi. Oleh itu, saya dan rakan kongsi terpaksa mencari modal dengan menjual apa sahaja harta yang ada terutamanya rumah dan kereta.
Yang tinggal hanyalah sebuah kereta Perodua Kancil, yang alat pendingin hawanya pula rosak. Alhamdulillah, kami berjaya mengumpulkan modal hampir RM250,000 dan dengan kereta itulah kami memulakan semua urusan perniagaan.
Apa yang menjadi pembakar semangat anda terus berniaga?
Saya sedar ada hadis mengenai 9 dari 10 punca rezeki adalah melalui perniagaan. Namun, Rasulullah s.a.w sendiri sebelum berjaya sebagai ahli perniagaan, berhadapan pelbagai kesusahan dan rintangan. Jadi saya menerima hakikat untuk berjaya tidak ada jalan mudah atau jalan pintas.
Anak saya sendiri, ketika diminta untuk membantu saya menjual sabun, mukanya masam mencuka! Bagaimanapun, sokongan Pengarah Tazqiah Global, Azean Mahmud yang sanggup meninggalkan kerjayanya di sebuah bank untuk membantu saya, banyak memberi sokongan.
Dengan bekalan rumpai laut oleh Persatuan Nelayan Semporna, Sabah yang digabungkan dengan tanah liat yang dikorek di Kuala Kangsar, Perak dan Rompin Pahang, Tazqiah Global hari ini menjadi antara mereka yang menempa nama dalam peta usahawan berjaya.
Saya bersyukur pada Allah kerana usaha dan tawakal saya selama ini dibalas-Nya dengan sebaik-baik balasan. Jangan mengukur kejayaan saya hari ini dengan jenis kereta yang saya pandu. Namun, ukurlah dengan kejayaan melahirkan ahli-ahli perniagaan sebagai pengedar dan menjual produk Tazqiah Global terutamanya sabun Taharah ini ke serata pelosok negara.
Setakat ini, syarikat ini mempunyai hampir 50 wakil negeri yang berdaftar dan mempunyai tidak kurang 100 wakil pengedar di bawah mereka.
Adakah anda bercadang memasarkan produk ini melalui pasar raya besar untuk memudahkan pelanggan mendapat produk ini?
Memang ada permintaan daripada pasar raya besar dan juga syarikat jualan langsung mengenai perkara ini.
Syarikat-syarikat gergasi tersebut meminta kami memasarkan sabun Taharah menerusi premis-premis mereka. Ini tentunya menjanjikan pulangan dan keuntungan yang cukup lumayan kerana banyak kos lain sudah dapat ditampung. Malah ada juga syarikat yang mahu ‘membeli’ seluruh Tazqiah dengan nilai jutaan ringgit dengan kedudukan saya dikekalkan.
Namun saya tetap berpegang pada prinsip asal, iaitu untuk melahirkan lebih ramai ahli perniagaan yang berjaya melalui Tazqiah Global. Adalah penting untuk kami mengekalkan status syarikat ini sebagai 100 peratus milik Bumiputera.
Apakah hubungan syarikat ini dengan NRC Industries Sdn. Bhd. terutamanya anak syarikat mereka, Dona Marketing yang mengeluarkan produk jagaan diri dengan jenama Dona?
Hubungan kami hanyalah kerjasama untuk memproses dan mengeluarkan sabun Taharah di kilang milik Dona Marketing. Ini kerana kami tidak mempunyai kilang sendiri. Formula dan paten produk masih lagi milik Tazqiah Global. Kami adalah pengeluar tunggal sabun ini.
Jadi, tidak timbul ada syarikat lain yang mendakwa mempunyai formula yang sama dan turut berkerjasama dengan Dona Marketing untuk mengeluarkan produk tersebut.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz2HXXMIQLA
© Utusan Melayu (M) Bhd (HAK MILIK TERPELIHARA)

No comments: